sahabat-sahabat blogger yg dikasihi

Thursday, February 24, 2011

Tips melahirkan suami yang menyokong penyusuan susuibu

Tips melahirkan suami yang menyokong penyusuan susuibu.

 SUMBER:DARI IBU ADDINNASA

1.Berkongsi kebaikan susuibu bersama suami.
Apabila anda mempunyai niat untuk menyusukan bayi anda, kerapkan berkongsi info kebaikan susuibu dengan suami anda. Maklumkan kepada suami betapa pentingnya pengaliran susuibu membentuk hati si manja agar menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Susuibu juga membantu meningkatkan sistem imun kepada si kecil. Maklumkan juga kepada suami bahawa dengan menjayakan penyusuan secara ekslusif selama 6 bulan pertama sahaja sudah membantu anda menjadi cantik dan punyai bentuk badan asal seperti sebelum mengandung. Ajak suami menghadiri kursus yang berkaitan dengan penyusuan dan banyakkan membeli buku-buku yang berkaitan keibubapaan, penyusuan kerana dengan membaca sendiri akan membantu suami memahami kebaikan dan kepentingan susuibu buat si kecil nanti.

2. Jadilah isteri yang kuat semangat dan energetic.
Elakkan dari merungut keletihan dalam kehidupan seharian. Para suami sebenarnya tidak suka mendengar rungutan dan rengekan yang memeningkan kepala mereka. Lelaki sangat suka wanita yang berdikari dan membuktikan diri mereka super dalam banyak aspek kehidupan. Mak saya selalu bercerita, suami sangat suka jika isteri pandai menguruskan semua urusan rumah dan jika mahu meminta pertolongan dalam membantu urusan rumahtangga bagi yang bekerjaya, minta tolonglah dengan penuh kasih sayang dan hormat dan bukan dengan cara mengherdik atau meninggikan suara. Jika berkemampuan, dapatkan supplement supaya badan kita mendapat cukup zat dan khasiat serta membantu kita kekal aktif. Cuba elakkan menangis berkaitan dengan penyusuan. Adakala suami lebih suka anaknya diberi susu formula kerana tidak suka melihat isterinya menangis kerana susu tersumbat, susu merundum dan sebagainya. Maka si ibu kena kuat semangat dan sentiasa bertenaga membantu suami yakin isterinya boleh menjayakan penyusuan.

3. Berikan layanan terbaik buat suami.
Tidak dinafikan, ibu yang menyusukan anaknya mempunyai masalah kedinginan dan ada juga yang mempunyai masalah ini dengan sangat serius. Ini berlaku lanjutan daripada masalah hormon prolaktin yang lebih tinggi dari progestrone. Namun isteri tidak boleh mengabaikan hak suami. Pernah saya ajukan soalan ini kepada kaunselor peribadi kami, dan beliau menyatakan bahawa punca suami tidak menyokong penyusuan kerana keperluan "bersama" itu tidak diatasi dengan baik. Isteri mengadu tidak punyai mood "bersama" dan isteri mudah lena apabila menyusukan anaknya. Untuk mengatasi masalah ini, para isteri disarankan mengambil supplement yang boleh membantu masalah kedinginan ini iaitu dengan vitamin E serta Alfalfa. Apabila keperluannya dipenuhi, insyaALLAH akan melahirkan suami yang memahami dalam urusan rumahtangga dan hubungan kasih sayang suami isteri lebih terjaga. Apabila seorang isteri itu dekat dengan pencipta, insyaALLAH kita tidak akan memandang remeh tentang masalah keintiman dalam rumahtangga.


4. Jaga penampilan diri
Semua lelaki sangat suka melihat wanita yang cantik dan pandai bergaya. Pastikan dalam menjayakan penyusuan, si ibu menjaga amalan pemakanan seharian, tidur yang mencukupi agar tidak merosakkan kecantikan wajah dan diri yang sedia ada. Tidak dinafikan jika amalan pemakanan tidak dititikberatkan si ibu yang menyusukan anaknya boleh kelihatan murung, nampak kulit yang kusam, rambut yang mudah gugur dan banyak lagi. Amalkan memakan buah setiap hari dalam menu atau dapatkan makanan tambahan yang membantu kita nampak muda seperti vitamin C dan E, memakai wangi-wangian di rumah bukan sekadar bila jalan keluar. Ibu yang menyusu tetapi tidak menjaga penampilan diri boleh menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Elakkan makanan yang boleh menghasilkan bau badan yang kurang enak seperti halba (jika anda melalui situasi ini) kerana ia boleh menghasilkan bau badan yang tidak menyenangkan kepada isteri dan bayi yang disusukan.
Elakkan memakai baju yang lusuh beserta kain batik yang tidak nampak cantik supaya suami hanya tertarik dengan isterinya sahaja walau beribu wanita cantik yang ditemuinya seharian. Pakailah pakaian yang menarik mata dan perhatian suami namun jika hidup serumah dengan mertua, pakailah yang bersopan agar tidak menyebabkan fitnah dan zina mata dengan ahli keluarga yang bukan muhrim.

5. Pandai bahagikan masa untuk suami bermanja.
Bermanja di sini bukanlah semestinya melakukan hubungan intim, namun ia lebih kepada masa kualiti untuk bersembang dan mengenal hati budi masing-masing. Elakkan mencari alasan, bayi mengempeng sehingga tiada masa untuk bermanja bersama suami. Suami adalah ibarat anak kecil yang perlukan perhatian dan belaian kasih sayang. Usahakan sesuatu agar anak tidak mengempeng atau melekat setiap malam. Mak saya kata, kalau kita ada usaha pasti ALLAH bukakan jalan. Si ibu boleh cuba amalkan pemakanan berkhasiat yang kaya dengan protien dan zat vitamin selepas makan malam, agar apabila menyusukan anak, anak mudah kenyang dan tidur dengan lena.


6. Masakkan makanan kegemarannya.
Adakah anda biasa dengar, untuk menjaga kesejahteraan rumah tangga, amalkan menjaga 3 perkara ini untuk suami ....memenuhi 1) keperluan untuk bersama, 2) menjaga makanannya dan 3)menjaga tidurnya. Bagi si surirumah: belajarlah cara2 memasak dengan cepat terutama waktu si kecil tidur. Jika perlu bangkit awal, bangkitlah awal agar dapat menguruskan masa memasak tanpa gangguan. Belajarlah resepi2 yang ringkas tetapi sedap apabila dinikmati. Bagi ibu dan isteri yang bekerjaya kita bekerja atas redha suami maka apa pun yang kita buat perlulah win-win situation. Jika tak larat nak masak, keluarkan sedikit belanja dari gaji untuk membeli makanan. Jika suami kata membazir, katakan padanya sementara sahaja memadangkan hari itu tak larat nak masak. Namun jangan pula minta suami yang keluarkan belanja makan pasti mengamuk sakanlah si suami tadi kerana mengharapkan isteri bekerja membantunya tetapi sebaliknya yang berlaku.


7. Banyakkan berdoa.
Berusaha, berdoa dan bertawakal. Minta dan banyaklah berdoa kepada ALLAH agar mengurniakan suami yang memahami dan bertanggungjawab serta memberi sokongan dalam menjayakan penyusuan. Segala yang saya nyatakan di atas adalah sebahagian usaha untuk melahirkan suami yang menyokong penyusuan. Namun tidak boleh kita lupa taufik hidayah itu datangnya dari ALLAH jua. Semoga atas niat baik kita menyusukan anak tadi ALLAH memberi kelapangan urusan terutama yang melibatkan suami. InsyaALLAH.



Mungkin ada sesetengah suami suka menzahirkan rasa bangganya apabila si isteri menyusukan anaknya. Namun bukan semua suami begitu sebab mulut lelaki dihatinya tetapi hati wanita dimulutnya. Lelaki lebih suka menzahirkan perasaannya melalui perbuatannya maka sebagai isteri kita perlu tahu gaya lenggok suami kita dalam apa jua urusan kehidupan dan rumahtangga.
Akhir kata, saya suka ingin berkongsi pendapat emak saya....katanya dalam rumahtangga, isteri itu ibarat rel keretapi manakala suami adalah keretapi. Hakikatnya isteri yang membentuk keperibadian seorang suami. Maka layanlah suami sebaik mungkin dan letakkan hak suami di tempat yang betul dan utama untuk bahagia dunia dan akhirat.

Sekian, sesungguhnya yang baik datang dari ALLAH dan kekurangan itu adalah dari saya sendiri. Wassalam.

Sila Tag dan Share
anakkuwiraku.com

No comments:

Post a Comment